|
|
|
|
|
Lelaki
India
berbadan tegap itu menghempaskan dirinya ke atas sofa di ruang
tamu rumahnya di Petaling Jaya. Hari ini, dia rasa terlalu
letih. Pelanggan yang datang ke bank tempatnya bekerja hari
ini, luar biasa ramainya. Dia cuma sempat berhenti rehat
sewaktu makan tengah hari sahaja. Selepas itu, dia kembali
sibuk melayan pelanggan sehinggalah habis waktu
pejabat. Lelaki itu menghidupkan TV 29 inci yang baru dibelinya
tidak sampai dua bulan dengan remote yang berada di tangannya.
Ditukarnya satu per satu siaran televisyen, TV3, TV2, semuanya
sama. Tidak ada apa yang menarik. Bosan!. Dia menukar
pula
kepada siaran TV1 . Kebetulan ketika
itu, rancangan Forum Perdana Ehwal Islam sedang berlangsung.
Salah seorang ahli panelnya ialah ulama terkenal, Dato' Dr.
Haron Din. Biarpun dia bukan seorang Muslim, rancangan Forum
Perdana Ehwal Islam bukanlah asing baginya. Selalu juga dia
menonton rancangan tersebut. Malah, dia juga tahu sedikit
sebanyak tentang ajaran Islam melalui rancangan tersebut.
Lagipun, dia suka melihat kepetahan ahli panel itu memberi
ceramah dalam bahasa Melayu, secara tidak langsung, dia boleh
belajar bertutur dalam bahasa Melayu dengan lebih
baik. Sedang asyik mengikuti perbincang-an itu, tiba-tiba,
lelaki tersebut tersentak apabila mendengar Haron Din
mengatakan: "Bandingan segala
kebaikan amal dan usaha orang-orang yang kufur ingkar terhadap
Tuhannya ialah seperti abu yang diterbangkan angin pada hari
ribut yang kencang, mereka tidak memperoleh sesuatu faedah pun
daripada apa yang mereka telah usahakan itu. Amalan itu
menjadi sia-sia akibat mereka sebenarnya berada dalam
kesesatan yang jauh daripada kebenaran."
Mendengar kata-kata Haron Din, darah
lelaki India
itu menyirap. Perasaan marah menyelinap masuk ke dalam
hatinya. Mana boleh! Itu tidak adil! Takkan Tuhan hanya
menerima kebaikan orang Islam sahaja? Bagaimana dengan
kebaikan yang dilakukan oleh orang bukan
Islam? Bahkan, sepanjang hidupnya, dia melihat banyak kebaikan
yang dilakukan oleh orang bukan Islam, dan ada kalanya,
melebihi daripada Kebaikan yang pernah dilakukan oleh orang
Islam itu sendiri. Apakah segala kebaikan itu tidak
diterima? Dia mula menganggap, ajaran Islam mengamalkan sikap
kasta. Jika begitu ajaran Islam, bermakna ia double
standard. Rasa tidak puas hati terus menyelubungi fikiran lelaki
tersebut. Lelaki India
itu akhirnya bertekad untuk ber-jumpa dengan Haron Din. Dia
ingin berdebat dengan ulama tersebut. Pada fikirannya, mana
boleh seorang ulama mengeluarkan kenyataan yang tidak adil
seperti itu, dan boleh menyentuh perasaan orang bukan Islam di
negara ini seperti dirinya. Apatah lagi ia dilakukan secara
terbuka di kaca TV.
Lelaki itu tahu, Haron Din bukanlah
calang-calang orang, tetapi dia tidak peduli. Dia tetap mahu
berjumpa dengan ulama tersebut dan mesti mencari jalan
bagaimana untuk bertemu dengannya.Setelah beberapa bulan
memendam niat untuk bertemu Haron Din akhirnya hasrat itu
tercapai. Melalui seorang pelanggan yang dikenali ketika
berurusan di bank tempatnya bekerja, lelaki itu dibawa bertemu
dengan Haron Din di sebuah rumah seorang ahli perniagaan di
Petaling Jaya. Haron Din mengadakan usrah di rumah ahli
perniagaan tersebut pada hari Khamis malam Jumaat, seminggu
sekali. Ketika sampai di rumah ahli perniagaan tersebut, kuliah
baru saja bermula. Di hadapan lebih 20 orang jemaah, kelihatan
Haron Din duduk bersila sambil memegang sebuah kitab.
Kebetulan pada malam itu, Haron Din mengajar tentang bab
syirik. Bila ternampak muka Haron Din, hatinya menjadi
panas. Lelaki itu membulatkan tekad, selepas tamat kuliah, dia
mahu berjumpa dengan Haron Din. Dia mahu mengajak Haron Din
berdebat. Lelaki itu memang betul-betul tidak berpuas hati
dengan kenyataan Haron Din di dalam Forum Perdana. Ia masih
terngiang-ngiang di telinganya biarpun sudah beberapa bulan
berlalu. Namun, tidak disangka-sangka, segala yang dirancangnya
tidak menjadi. Perasaan marah dan bengang yang bersarang dalam
dirinya selama beberapa bulan itu mula surut apabila dia duduk
mendengar kuliah yang disampaikan oleh ulama
tersebut. Setelah tamat kuliah yang diberikan Haron Din, lebih
kurang dua jam selepas itu, semangatnya yang tadi
berkobar-kobar mahu berdebat dengan ulama tersebut, kian
kendur. Rupa-rupanya, dalam diam, dia mengakui, cara
penyampaian, serta kupasan Haron Din yang begitu terperinci
dalam bab-bab syirik, membuatkan dia rasa amat
terpegun. Sebelum ini, lelaki India
itu tidak pernah mendengar penjelasan mengenai Islam dan
ketuhanan seperti yang didengarnya pada malam itu. Biarpun
hati lelaki berkenaan sudah mula mahu akur pada kebenaran
Islam, namun egonya masih menebal. Lelaki ini memperingatkan
dirinya, kedatangannya pada malam itu bukan untuk terpengaruh
dengan kata-kata Haron Din, tetapi untuk mengajak ulama itu
berdebat dengannya.
Akhirnya dia memutuskan untuk
menangguhkan hasrat berdebat dengan Haron Din. Bukan tidak
berani, tetapi sebenarnya pada malam itu segala persepsi
buruknya terhadap Haron Din dan Islam telah mula
berubah. Pun
demikian, lelaki itu tidak mahu mengalah dengan perasaannya.
Ego yang ada dalam dirinya mengaburi kewarasan akalnya.
Misinya berjumpa dengan Haron Din ialah untuk menyatakan apa
yang dikatakan oleh ulama tersebut dalam Forum Perdana adalah
tidak adil. Tidak lebih daripada itu. Dan yang paling penting,
tujuan dia bertemu ulama tersebut bukanlah untuk mengakui
kebenaran Islam. Lelaki itu membuat perancangan sendiri. Dia
akan terus mengikuti kuliah Haron Din di situ, agar dia lebih
faham tentang Islam dan senang nanti untuk dia berhujah dengan
ulama tersebut kelak.
Selepas itu, pada setiap malam Jumaat,
lelaki berkenaan menghadiri kuliah Haron Din. Kali ini dia
pergi seorang diri. Tetapi 'masalahnya' semakin lama mengikuti
usrah Haron Din, semakin jelas dilihatnya kebenaran Islam.
Lama-kelamaan, tujuan asal lelaki ini untuk berdebat dengan
Haron Din dan mengatakan bahawa Islam agama yang double
standard, bertukar menjadi sebaliknya. Setiap kali dia
mengikuti usrah Haron Din, semakin hampir hatinya pada Islam.
Islam itu dilihatnya tulus, lurus tanpa
simpang-siur. Niat asalnya untuk berdebat dengan Haron Din akhirnya
terpadam begitu sahaja. Sebaliknya, hatinya menjadi semakin
lembut dan lelaki India
itu bertambah berminat untuk mengetahui tentang ajaran Islam
dengan lebih mendalam.
Suatu hari ketika mengikuti usrah
Haron Din di rumah ahli perniagaan tersebut, lelaki India
itu mengambil peluang bertanyakan bermacam-macam soalan
tentang Islam. Dia bertanya, mengapa perlu meninggalkan
agamanya dan memeluk Islam? Bukankah semua agama itu sama.
Bukankah Islam itu juga sama seperti agama lain, menyuruh
membuat kebalkan dan meninggalkan
kejahatan? Dan yang paling penting, dia mahu tahu, kenapa Haron
Din mengatakan hanya amalan orang Islam sahaja yang diterima
Allah, dan amalan orang bukan Islam tidak diterima-Nya seperti
yang disebut di dalam Forum Perdana Ehwal Islam tidak berapa
lama dulu. Haron Din tersenyum dan secara berkias beliau menjawab;
" Untuk memudahkan saudara memahaminya,
biar saya berikan contoh begini: kita adalah seorang hamba dan
tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja
dan segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah
tersebut. "Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita
tidak berbuat seperti mana yang disuruh, sebaliknya kita
mengusahakan tanah orang lain. Kemudian bila tiba di hujung
bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah.
Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita
tidak lakukan apa yang disuruh, sebaliknya kita melakukan
kerja untuk orang lain? "Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita
melakukan kebajikan dan kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi
kerana sesuatu yang lain, contohnya kerana manusia, pangkat
atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan memberi
balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan
yang kita lakukan bukan untuk Dia?" Ternyata segala jawapan dan
hujah yang diberikan oleh Haron Din atas pertanyaannya itu,
membuatkan dia mati akal. Begitu juga dengan setiap hujah dan
persoalan yang cuba ditimbulkan lelaki itu dengan mudah
dipatahkan oleh Haron Din dengan cara yang lembut dan
bijaksana, tanpa sedikit pun menyinggung perasaannya sebagai
orang bukan Islam.
Setelah empat minggu berturut-turut
mengikuti kuliah yang diberikan oleh Haron Din, ego yang ada
di dalam dirinya hancur dengan kebenaran Islam. Akhirnya hati
lelaki itu terbuka untuk memeluk Islam. Enam bulan selepas
itu, secara rasmi lelaki India
tersebut memeluk Islam.
Dalam satu pertemuan empat mata dengan
Haron Din setelah lelaki itu memeluk Islam, dia sempat
bertanya mengapakah ulama tersebut mengeluarkan kenyataan
seperti itu di kaca TV, sedangkan kenyataan itu boleh
mengundang rasa tidak puas hati di kalangan bukan Islam,
seperti apa yang dirasakannya.
Haron Din menjelaskan kepada lelaki
India
tersebut: "Memang kenyataan itu saya tujukan khusus untuk
orang bukan Islam. Saya mahu orang bukan Islam berfikir
tentang kehidupan, asal usul manusia dan kebenaran agama. Saya
mendapat maklum balas, ramai di kalangan bukan Islam yang
menonton rancangan itu. Jadi, sengaja saya bacakan ayat
al-Quran itu agar mereka berfikir." "Dan saya adalah di antara
mereka yang terkena provokasi Haron Din itu. Biarpun pada
peringkat awalnya saya bertemu beliau atas sebab tidak puas
hati dengan kenyataannya, namun akhirnya, saya bersyukur,
kerana ia menjadi penyebab yang membuatkan saya akhirnya
menerima cahaya kebenaran Islam," jelas Mohammad Fitri
Abdullah, 43, lelaki India
yang dimaksudkan dalam cerita di atas. Ketika Mastika menemuinya di
pejabat Perkim bahagian Shah Alam di Masjid Negeri Shah Alam,
Fitri berulang kali menyatakan betapa syukurnya dia mendapat
hidayah biarpun pada mulanya dia langsung tidak terfikir untuk
memeluk Islam.
"Seperti yang saya katakan, pada
awalnya niat saya adalah untuk berdebat dan berbalah dengan
Haron Din akibat rasa tidak puas hati terhadap kenyataannya
itu. Tetapi, apabila saya mendengar penjelasan beliau, ego
saya jatuh dan dalam diam-diam saya mengakui, saya bukanlah
orang yang layak untuk berdebat dengan beliau,"
jelasnya. Sebenarnya sebelum memeluk Islam, Fitri memang seorang
yang taat terhadap agamanya. Dia bukan sekadar seorang
pengikut yang taat, tetapi juga bergerak aktif dalam beberapa
persatuan yang berteraskan agama yang dianutinya. Selain
itu, dia turut mengajar di beberapa rumah ibadat di sekitar
ibu kota. Biarpun kuat terhadap agamanya, namun jauh disudut
hati, lelaki itu sering merasakan ada sesuatu yang tidak kena
dengan agama yang dianutinya.
"Sebenarnya, agama tersebut juga
mengajar pengikutnya untuk menyembah Tuhan yang satu. Di dalam
kitab-kitab lama, itulah ajarannya. Tapi masalahnya, apa yang
dilakukan oleh penganut agama tersebut berlainan daripada apa
yang diajar di dalam kitab.
"Mereka tidak menyembah Tuhan yang
satu, sebaliknya menyembah bermacam-macam Tuhan, selain dari
Tuhan yang satu," tegas lelaki yang berasal dan Banting,
Selangor ini. Lantaran itulah kata Fitri, hatinya sering
berasa ragu dengan agama sendiri. Perasaan ini bukannya baru,
malah timbul sejak dia berusia belasan tahun lagi. Dia melihat
apa yang diajar di dalam kitab, dengan apa yang dipraktikkan
oleh penganut agama lamanya, termasuk dirinya sendiri,
ternyata bercanggah sama sekali. "Tetapi apabila saya mendengar
kuliah Haron Din, diam-diam saya mula sedar, saya memang
berada dalam kesesatan yang nyata. Pertama kali mendengar
ceramah beliau, sudah cukup untuk memberi kesedaran pada diri
saya sekali gus berjaya mengubah pandangan saya terhadap Islam
selama ini. Mungkin itulah kelebihan yang Allah berikan
pada Haron Din," kata Fitri lagi.
Kejadian itu sebenarnya telah pun
berlalu hampir 15 tahun, namun cahaya iman yang menyerap ke
dalam hatinya masih lagi sesegar dulu. Malah, dari hari ke
hari semakin kukuh bertapak di dalam
dirinya. Jika dahulu Fitri seorang mubaligh yang aktif
menyebarkan agama lamanya, kini Fitri masih tetap begitu.
"Cuma bezanya, hari ini saya bergerak di atas landasan agama
yang benar iaitu Islam. Saya cukup sedih bila mendengar ada
saudara seagama saya, terutamanya di kalangan orang Melayu
yang sanggup keluar dari Islam.
Murtad. "Hari ini, menjadi tanggungjawab saya untuk membantu
mereka, memulihkan iman mereka, dengan pelbagai usaha dan
cara, termasuk berkongsi pengalaman yang saya lalui sebelum
ini. "Ini adalah
tuntutan wajib buat diri saya. Dengan kelebihan yang Allah
anugerahkan kepada saya, saya perlu laksanakan amanah ini
biarpun berat, sebagai usaha saya membantu menyemarakkan agama
Allah di muka bumi yang bertuah ini," ujarnya
bersungguh-sungguh mengakhiri pertemuan kami pada petang
itu. catitan : Benarlah bahawa
Hidayah Allah hanya untuk hamba yang dikehendaki-NYA sahaja.
Selagi hayat dikandung badan, kita mesti hapuskan gerakan
mengkristiankan umat Islam di Malaysia.
Semakin lambat kita bertindak, ditakuti bilangan orang murtad
ini akan bertambah. Bertindaklah, walau dengan apa jua
sekalipun, paling tidak kita doakan kesejahteraan dan
keselamatan umat Islam dari fitnah Kristian ini selepas solat
fardhu. Apa yang paling saya kesalkan bahawa isu ini dipandang
sepi oleh sesetengah pihak dan kita tidak boleh lagi menuding
jari serta mengharapkan kepada kerajaan, JAKIM Jabatan Agama
Negeri dan sebagainya, Syiar Islam itu diamanahkan kepada
setiap individu Islam dan bukannya kepada kerajaan atau
mana-mana pertubuhan sekalipun.
Ustaz Harun Din adalah ulama yang
amat disegani dan saya sungguh sedih melihat ulama seperti
beliau seolah-olah tiada tempat dalam masyarakat kita.Sungguh
sukar untuk kita lihat wajah beliau di kaca televisyen
sedangkan ilmu yang beliau miliki amat penting untuk kita
sama-sama kongsi,pelajari dan amalkan. Rancangan Forum Perdana
kini gagal menarik minat penonton Islam termasuk bukan Islam
kerana kita kehilanagan ulama-ulama seperti Ishak Baharom,
Badrul Amin, Harun Din, dan ramai lagi. Kenapa mereka ini di
gam? Disekat terus menerus? Mengapa?
Regards,
Arman
Alim B. Mohd. Ismail
|
|