|
Nikmat bersedekah Oleh KHAIROL ANUAR MASUAN
PROFESOR psikologi dari Universiti Oregon, Ulrich Mayr
berpendapat amalan bersedekah mengaktifkan sel-sel otak dan
ini akan menjadikan orang yang berbuat demikian berasa
seronok. Pandangan itu diterbitkan oleh jurnal Science (2007)
yang diketahui oleh ahli akademik sebagai jurnal
berpengaruh.
Ulrich Mayr juga mendapati bahawa rasa seronok bersedekah
itu bolehlah dikatakan sama atau lebih daripada menikmati
makanan atau hubungan kelamin. Ini kerana bahagian otak yang
teraktif dari amalan tersebut berada di bahagian yang sama
untuk menikmati makanan dan juga hubungan kelamin.
Selain itu amalan suka bersedekah juga dikaitkan dengan
sifat suka menolong orang lain yang juga menjadikan seseorang
itu rasa seronok selepas berbuat demikian. Itu sebabnya orang
yang menolong selalu keberatan menerima habuan kewangan kerana
berasa seronok membantu. Ini dikatakan sebagai sifat altruisme
atau bahasa mudahnya ringan tulang.
Kajian Ulrich Mayr dan dibantu dua orang pakar ekonomi itu
dilakukan ke atas 19 sukarelawan wanita dan dibekalkan
sebanyak AS$100 (RM347). Kemudian pengkaji-pengkaji ini
meneliti aktiviti otak dengan menggunakan pengimbas Functional
Magnetic Resonance Imaging (FMRI).
Melalui pengimbas canggih itu segala aktiviti otak dapat
dikesan dengan mudah dan respons pengesanan adalah amat
teliti. Kemudian kesemua wanita ini ditunjukkan bahawa wang
mereka telah dimasukkan ke dalam akaun tabung makanan (atau di
sini sama seperti akaun zakat).
Apabila wang tersebut disahkan telah diterima, maklumat
tersebut segera mengaktifkan bahagian otak untuk rasa seronok.
Bahagian-bahagian itu ialah caudate nucleus dan nucleus
accumbens yang diketahui sebagai bahagian untuk rasa seronok.
Kajian tersebut juga menunjukkan jika sukarelawan itu terpilih
untuk mengedarkan wang tersebut, contohnya, menjadi wakil
untuk memberikan wang sedekah kepada rumah anak yatim, ia akan
meningkatkan lagi rasa seronok.
Kajian terdahulu menunjukkan bahawa bahagian otak yang
teraktif itu jugalah bertanggungjawab untuk rasa seronok
seperti memakan manisan, hubungan kelamin, perlindungan, dan
juga rakan taulan. Ini semua adalah dikaitkan sebagai
keperluan asas seorang manusia.
Nabi kita telah memberitahu kita lama dahulu bahawa hanya
orang yang banyak bersedekah tahu nikmatnya. Tidak hairanlah
penulis pernah melihat pakcik tua pada hari Jumaat pasti
bersedekah.
Pakcik tersebut tahu, kita yang muda ini mungkin ada banyak
pilihan lain untuk berseronok. Teringat pula kehebatan Umar
bersedekah separuh hartanya dan dia rasa seronok; tetapi hebat
lagi sedekahnya Abu Bakar yang bersedekah seluruh hartanya.
Kita? |